create your own banner at mybannermaker.com!

HADIS MUSLIM

Tuesday, 21 June 2011

RAKAN GURU: KE MANA ARAH TUJU DAN HALUAN KITA ?


Sebagai guru, ke mana arah tuju dan haluan kita? Ke mana kita hendak membawa pelajar-pelajar kita? Kita mendidik dan mencorakkan pembentukan keperibadian mereka setiap hari. Saban hari kita bukan sahaja menyampaikan ilmu dan maklumat tetapi melakukan sedikit sebanyak proses pendidikan, walaupun kadangkala kita tidak menyedari proses itu berlaku. Kita seharusnya mempunyai wawasan tersendiri. Kita ada prinsip dan pegangan hidup kita sendiri. Kita tahu ke mana sebenarnya hendak di bawa anak-anak muda di hadapan kita. Kita sedar kita boleh merubah mereka. Kita sedar tanpa usaha gigih daripada para pendidik, anak-anak muda ini akan berterbangan seperti kelkatu. Mereka, kebanyakannya tiada pedoman, tiada arah tuju, tiada ketetapan diri..mereka terbiar begitu sahaja.

Ke mana ingin kita bawa mereka? Kita sedar betapa teruknya cabaran yang terpaksa mereka hadapi saban hari. Kita sedar mereka mudah terpengaruh dan mempengaruhi. Kita sedar mereka ialah golongan yang paling rapuh dan paling mudah runtuh. Hanya dengan sepatah dua kata, mereka sanggup menggadaikan maruah diri. Hanya dengan seringgit dua sahaja mereka boleh dibeli. Mereka ialah golongan yang paling senang menerima sebarang pengaruh. Pengaruh agama pun tidak terkecuali. Terfikirkah kita kedapatan segelintir remaja yang tidak mengetahui konsep asas akidah dan keimanan? Agama bagi mereka ialah acara rutin harian yang boleh dikerjakan atau boleh saja ditinggalkan. Begitulah rapuhnya iman mereka.

Ke mana kita hendak membawa mereka? Kita mengetahui dan menyedari semua gejala yang menimpa mereka. Tetapi apa yang telah kita lakukan? Apakah yang kita telah usahakan? Kita sebagai guru dan pendidik yang setiap hari berada dalam lingkungan mereka..apakah yang telah kita buat? Kita sebagai pentadbir pendidikan baik di sekolah ataupun di peringkat daerah mahupun yang berada di JPN dan di Kementerian, apa yang telah kita rancang?
Ke mana kita hendak membawa mereka? Bahagia atau derita?

Paling sedih, ada dalam kalangan kita yang kering dan layu. Kita sendiri tiada motivasi yang kukuh. Bagaimana kita hendak membina dan mencorakkan keperibadian jika kita sendiri lemah dan tidak bermaya? Kita meneruskan rutin kerja kita sebagai pendidik setiap hari dalam keadaan dan corak yang sama. Tiada perubahan, tiada langsung inovasi. Kita hanya bekerja sebagai seorang guru bukan seorang pendidik. Kita menyenaraikan begitu panjang alasan dan hujah bagi menegakkan benang yang basah. Kita menuding jari kepada siapa sahaja untuk menyelamatkan diri. Kita sering menyalahkan tidak memulihkan. Bila sampai masa penganugerahan pangkat dan kecemerlangan, kita berada di baris hadapan. Kita mengutuk orang yang tidak memandang kita. Kita sering mendabik dada bahawa kitalah yang terbaik. Orang lain semua tidak sebaik kita. Kita yang patut mendapat pangkat, orang lain tidak. Tetapi, kita sanggup melihat anak-anak didik kita bertaburan, berkeliaran, berkepitan. Langsung tiada usaha untuk membuat perubahan dan pemulihan. Di hadapan mata kita sendiripun kita terus membutakan mata dengan alasan mereka bukan pelajar kita, mereka bukan anak-anak kita. Biarlah guru di sekolah mereka yang mengatasinya. Dan, kita terus terusan tenggelam dalam prinsip dan pegangan kita yang kabur dan kelabu itu.
Tuan-tuan, ke mana kita hendak membawa mereka?

0 comments:

Post a Comment

 

Design by Amanda @ Blogger Buster